SURAH YUSUF 3 : BUILD YOUR MENTAL STRENGTH WITH PROPHET YUSUF WAY!

 

 

 

 

Sehingga kini saya masih meminati ilmu psikologi. Ini kerana ia membantu mengenali diri kita, mengenalpasti kekuatan dan kelemahan, termasuk ‘favorite topic’ yang kerap ditelaah iaitu teknik berkesan untuk mengekalkan motivasi…. Apakah punca motivasi tercetus, samada berasal dari emosi atau sebab rasional. Perbincangannya telah dipanjanglebarkan sehingga darinya sahaja, telah terbit beratus buku, tesis serta jurnal membincangkan pushing and pulling force yang membantu manusia termotivasi.

 

Ramai tokoh tersohor bidang ini telah saya kenali dan hadiri seminarnya serta berpuluh buku motivasi karangan motivator barat telah dibaca dan dihadam…. Tetapi, dalam banyak-banyak teknik motivasi tersebut, jarang darinya membincangkan satu punca utama motivasi tercetus iaitu : Motivasi dari Tuhan. Hmm…disinilah terserlahnya kelemahan motivator barat…..langsung tiada ‘connection’ dengan Tuhan dalam teorinya…..dan itulah juga masalahnya jika kita asyik ber’kiblat’kan kitab motivasi barat yang ‘Bismillah’ sepatah habuk pun tak ada!

 

Nasib baiklah ‘kitab motivasi’ Tuhan kita telah memperincikannya dalam Surah Yusuf, kerana itulah ‘main point’ yang Nabi Yusuf ingin ajarkan kepada kita!

 

 

 

APA YANG NABI YUSUF INGIN KONGSIKAN KEPADA KITA?

 

Point utama yang Nabi Yusuf tekankan ialah bagaimanakah cara untuk terus kekal bersemangat di saat krisis melanda. Anda akan mendapati, ramai motivator mampu bersyarah berjela-jela tentang ‘kejayaan dan adik-beradiknya’, seperti teknik untuk lebih gembira, tips untuk kekal cergas, petua skor A dan lain-lain. Tetapi ramai yang terdiam bila ditanya ‘bagaimanakah cara terbaik untuk bangkit dari jatuh sambil mengekalkan senyuman?’

 

Jatuh berkali-kali dalam kehidupan….. Itulah ‘asam garam’ yang Nabi Yusuf alami dari kecil hingga besar… krisis demi krisis…. cabaran demi cabaran.  Kehidupan baginda bukan setakat terhantuk lalu tergadah, malah sempat pula bengkak-benjol sana-sini….

 

Tetapi disebalik semua pahit-maung itu, terserlah kekuatan dalaman Baginda sehingga mampu ‘kebal’ dari terkena ‘burnout’ atau sindrom stress melampau seperti memanjat pyramid untuk terjun membunuh diri seperti yang sesetengah orang fikirkan disaat krisis melanda. Bahkan baginda masih sempat ‘control hensem’ dengan senyuman tetap mekar di bibir kerana satu rahsia utama : ‘Keep cool’, bersabar & terus cekal dalam hidup kerana Baginda amat yakin, Tuhan-lah yang menjalankan bidak catur hidupnya!

 

Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. (Yusuf, 90)

 

Pokok-pangkalnya, ini maksud tersirat yang ingin Yusuf khabarkan :  ‘Walau sebesar apapun cabaran melanda, walau segetir apapun dugaan diterima, walaupun kamu merasakan ‘kehidupan’ seolahnya sedang mengacukan pistol dikepalamu, pesananku hanya satu : sentiasa percaya 100% Allah akan menyelamatkanmu, bersabar dan bertahanlah, serta jangan sekali-kali berputus asa!’

 

 

PESANAN 2 : KEHIDUPAN MEMANG TURUN NAIK BAK  ‘YOYO’, TAPI JANGAN BERTINDAK SEPERTI ‘YOYO’!

 

Kisah Nabi Yusuf juga ingin mengajar kita secara halus tentang asam garam hidup di dunia. Saya dapati, disebalik status ‘Nabi kekasih Allah’ yang disandang baginda, ia tidak menjanjikan siri kehidupannya terjamin ‘happy and steady forever’……. Roda kehidupannya sama seperti kita…. . ada waktu di atas, ada ketikanya di bawah… ada episod suka dan duka silih berganti…. Pendek kata, ‘yoyo’ kehidupan Nabi Yusuf macam orang biasa sahaja… berpusing-pusing dengan nasib ‘baik’ dan nasib ‘buruk’ berselang-seli…

 

Walaupun roda kehidupan Baginda sama seperti kita, tetapi Nabi Yusuf telah menunjukkan dengan baik sekali hakikat dan erti kehidupan. Ia adalah gabungan antara senang dan susah.  Kedua-duanya boleh menjadi nikmat, pada masa sama boleh juga menjadi ujian kepada manusia. Lihatlah awal kehidupan baginda ketika kecil, sempat berada di ‘atas’ dengan menjadi anak emas ayahnya…tetapi status itulah yang mencampakkannya ke perigi buta…

 

Kejadian malang itu merupakan permulaan titik terbawah kehidupannya. Namun, disebabkan baginda tidak mudah melatah atau berkeluh-kesah, peristiwa gelap itu telah menjadi penyebab untuk membawa Nabi Yusuf ke rumah Al-Aziz, seorang ‘menteri kanan’ pembesar negara.

 

Ketika ini, ‘yoyo’ kehidupan Baginda mula berpusing ke atas semula…..Walaupun hanya bergelar ‘budak suruhan’, tetapi kehidupannya agak sempurna : diuliti kemewahan, selamat dan terjaga…. Bagi sesetengah orang, itulah corak kehidupan yang diidam-idamkan…Tetapi siapa tahu, Tuhan memiliki perancanganNya yang tersendiri untuk mengajar sesuatu kepada Yusuf. Tidak disangka langsung bahawa kemewahan di banglo agam Al-Aziz akan membuatkannya terperosok ke penjara. Satu dugaan hidup yang amat berat dimana jika tidak betul kawalannya, boleh gila kita dibuatnya!

 

Nah…..peristiwa ini sahaja boleh membuka mata kita terhadap makna kesenangan dan kemewahan…. Ia mengingatkan kita ‘Jangan disangka ketika hidupmu sudah serba mewah, kamu kebal dari sebarang dugaan. Kisah Yusuf telah membuktikan bahawa roda kehidupan tetap akan berputar….’

 

Kembali kepada titik bawah kedua dalam ‘yoyo’ kehidupan Nabi Yusuf. Walaupun penjara itu sempit, hina dan terasing, tetapi tempat itulah yang dipilih Yusuf asalkan hatinya tetap merdeka kerana berjaya mengalahkan bujukan nafsunya.  Mungkin disebabkan itulah, Allah ‘memusingkan’ kembali roda kehidupan baginda ke atas…. Kali ini, impian ‘dari penjara ke putrajaya’ menjadi kenyataan…..Penjara kecil itu telah menjadi saksi perubahan drastik nasibnya, dari banduan ke jawatan ‘Menteri Kewangan’ Mesir.

 

Saya yakin, ramai antara kita mengalami kitaran ‘yoyo’ kehidupan yang sama : sekejap di atas, sekejap di bawah. Cuma beza besar antara kita dengan Nabi Yusuf ialah : kita mudah sahaja ‘tergolek’, meracau tak tentu hala bahkan ada yang terlebih sampai menyalahkan Tuhan…Namun Yusuf tidak begitu… Cara Baginda menerima setiap kemewahan & dugaan, cara Baginda berfikir serta bertindak disebalik susah-senang itu yang ingin kita belajar…. Ia mencetuskan satu formula sangat berkesan untuk anda kekalkan senyuman iaitu :

 

Keep believing in Allah….Jangan risau jika anda menderita hari ini kerana pusingan roda hidupmu sentiasa dijaga oleh Allah yang Maha Berkuasa… Contohi roda kehidupan Nabi Yusuf yang sentiasa berpusing… Kadang-kadang dibawah, kadang-kadang di atas…tetapi, disebabkan ‘mind-set’ Yusuf tetap kekal di titik terunggulnya iaitu ‘believe in taqwa’, tidak hairanlah ‘happy ending’ suka bersahabat dengannya.

 

Menarik bukan inti pengajarannya??… Kepada mereka yang terfikir ‘hidup saya telah hancur-lebur’ hanya kerana anda menerima ‘surat berhenti kerja’ dari bos, atau bergenang air mata dek ‘surat rasmi putus cinta’, anggaplah episod tersebut sebagai perancangan Tuhan untuk menyediakan permulaan ‘muka surat baru’ dalam hidup anda …. Dengan berfikiran begini, anda akan terus melangkah ke depan beserta senyuman lebar di muka… Dan saya yakin, seperti Nabi Yusuf, pusingan positif seterusnya akan sedia menanti anda….

 

 

PESANAN 3 : MAKNA SEBENAR ‘OPTIMISME’.

 

Surah Yusuf juga mengajar kita tentang erti optimisme, makna sebenar  ‘positive thinking’ serta kekuatan ‘hope for miracle from Allah’. Ada 3 ayat yang berpendiran sama :

 

1 : Sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi, dan merasa bahawa mereka telah ditipu, kemudian kami datangkan bantuan kepada mereka, lalu kami selamatkan mereka dengan orang yang kami mahukan… (Yusuf 110)

 

2 : Sesungguhnya barangsiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan. (Yusuf, 90)

 

3 : Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sebab, yang berputus asa dari tahmat Allah hanyalah orang kafir. (Yusuf, 87)

 

 

Banyak yang saya belajar dari 3 ayat ini….. Ia mendefinisikan semula erti Optimism iaitu : Memanglah peristiwa pahit serta kegagalan boleh saja memberikan dampak emosi yang negative, perasaan takut serta rasa tidak yakin yang begitu mendalam… tetapi jika kita memilih untuk terus terikat dengan peristiwa silam, kita tidak akan melangkah ke hadapan….

 

Keduanya, sekali lagi ketiga-tiga ayat tersebut menekankan erti kebahagiaan hidup yang sebenar…. Jika kamu mahukan ‘success’ dunia akhirat, cita-citamu tercapai, inginkan kebahagiaan dalam setiap detik kehidupan, maka Surah Yusuf hanya ada satu jawapan : BERTAQWA & TERUSKAN BERSABAR!

 

Hmmm…sabar lagi….. mungkin bagi sesetengah orang, perkataan ‘sabar’ selalu sahaja dinegatifkan maknanya dengan :  Cukuplah… kan takdirmu sudah begitu… kalau memang sudah dilahirkan sebagai cacing, jangan sekali-kali bermimpi menjadi naga!’….

 

Itu bukannya sabar, tetapi ‘angkat bendera putih menyerah kalah!’ Sabar yang diajarkan oleh Nabi Yusuf bukanlah sabar negatif yang tunduk menyerah pada takdir, tetapi sabar positif iaitu tetap cekal untuk bertahan, bahkan siap-sedia mengejar setiap kesempatan yang melintas. Itulah yang dilakukan oleh Nabi Yusuf dalam rangkuman siri pengalaman hidupnya untuk dikongsikan kepada kita.

 

Disinilah terserlahnya rahsia ‘kekuatan’ Surah Yusuf : ia sarat dengan harapan bahawa Tuhan tidak pernah meniggalkan kita, bahawa seteruk mana sekalipun peristiwa pahit, ia bakal terhapus dengan ‘happy ending’ selepasnya, bahawa apa juga masalah yang dihadapi akan terungkai, bahawa kezaliman akan digantikan dengan kebaikan, dengan satu syarat : sentiasa berfikiran positif kepada Allah.

 

 

MENGAPA SAYA MAHU ANAK SAYA SEPERTI YUSUF?

 

Setelah menggali makna tersirat Surah Yusuf, saya tidak ragu-ragu lagi bahawa Nabi Yusuf memang cocok untuk saya jadikan sebagai idola bukan setakat untuk hidup saya, tetapi idola kepada anak lelaki saya nanti. Ia mengilhamkan kita untuk membentuk anak lelaki yang tetap gagah imannya walau disaat menghadapi krisis besar. Ia menyarankan agar lelaki bukan setakat ‘perkasa’ pada fizikalnya, tetapi juga ‘tahan ujian’ bila berdepan dengan dugaan. Ia juga menyenaraikan criteria lain yang wajib dimiliki oleh seorang ‘lelaki’ iaitu  :

 

1.         Lelaki yang takut kepada Tuhan, agamanya baik serta tidak melakukan sebarang perbuatan haram.

 

2.         Lelaki yang mempunyai peribadi terpuji.

 

3.         Mempunyai rupa paras yang elok.

 

4.         Keturunan orang baik-baik. (Bapa baginda juga Nabi iaitu Yaakub)

 

5.         Pekerja yang amat jujur kepada majikannya.

 

6.         Mempunyai IQ tinggi, pintar & memiliki bakat-bakat istimewa.

 

7.         Lelaki yang baik hati, dipercayai serta sentiasa menghormati orang lain.

 

8.         Lelaki yang tidak sombong atau lupa diri, pentingkan keluarga serta sentiasa membantu orang susah.

 

Hmm… agaknya sekarang, baru kita mengerti, mengapa ‘Surah Yusuf’ selalu dipilih ibu-ibu mengandung untuk dibaca andai mereka inginkan anak lelaki…. Kepada mereka, saya memohon hanya satu : jangan asyik fikirkan ciri ‘hensem’ Yusuf sahaja, tetapi doalah banyak-banyak agar peribadi Yusuf juga tumpah ke ‘acuan’ perangai anak kita! Barulah ketika itu, anak kita akan lebih hebat dari ‘Superman’!!

 

Menyebut tentang Superman, teringat saya jawapan kepada soalan yang saya ajukan kepada isteri sewaktu diskusi kami hampir berakhir : Selain beriman, apa beza besar antara Nabi Yusuf dengan Superman?

 

Ini jawapannya : ‘Kekuatan lelaki sejati tidak hadir dari fizikal. Ia datang dari minda positif kepada Tuhan serta keimanan (the can mentality) yang memuncak!’

 

 

 

=================================

 

Mohon maaf kerana agak lama juga saya mengambil masa untuk menulis siri akhir entri Surah Yusuf…. Berpuluh emel telah saya diterima dengan soalan yang sama :  ‘Ustaz, kenapa sejuk saja blog tu? Cerita Yusufman bila nak sambung? Kepada anda semua, ini sambungannya dan Insyaallah, doakan selepas ini, saya akan terus dialirkan ‘kekuatan Yusufman’ untuk terus menulis baki 112 dari 114 Surat Cinta…

 

=================================

Entri ini adalah sebahagian dari projek saya untuk berkongsi apa yang saya lihat, faham, feel, belajar & hayati dari 114 surah Al-Quran kepada seluruh pengunjung blog. Tujuan projek penulisannya ada dihuraikan disini.

Share/Save/Bookmark

You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “SURAH YUSUF 3 : BUILD YOUR MENTAL STRENGTH WITH PROPHET YUSUF WAY!”

  1. Aida bte Abdullah says:

    Salam…Excellence…Bila membaca Warkah ini..jiwa saya merasa
    terlalu tenang…dan semangat begitu membara. Segala tulisan saudara
    adalah benar…kerna..contoh nya diri saya…Dugaan sangat berat..namun
    demi satu kekuatan Iman Dan Aqidah…saya menjadi kuat…untuk meneruskan kehidaupan ini…yang penting sentiasa mengucap syukur atas segala kurnian Allah yang tidak ternilai didalam kehidupan kita.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Visit Bestincellphones.com for Cell Phone Offers. | Thanks to Internet Banking, Checking and Fat Burning Furnace Review