
Bilakah kali terakhir kita berazam ’tahun ini saya berhasrat untuk hayati betul-betul 114 surah Al-Quran!’
Memang amat jarang kita senaraikan hasrat di atas dalam koleksi azam tahun baru… yang selalu tersenarai hanyalah azam berunsur duniawi sahaja :
- ’By hook or by crook, Bmw 5 series mesti saya beli hujung tahun ni’
- ’Paling kurang mesti ada 200k dalam simpanan bank saya’
- ’Kalau tahun lepas dah dapat masters, tahun ini saya akan start target nak dapat Ph.d pula’
- ’Negara Eropah dah habis ’round’ tahun lepas, tahun ni nak pusing benua Afrika pula….’
Itu sebabnya dalam seminggu dua ini saya merasa amat bersalah….. bersalah kerana disebalik gelaran ’Al-Hafiz’ yang Tuhan kurniakan, saya masih tidak mampu memahami secara tuntas apa yg Allah sampaikan melalui 114 ’surat cinta’ yg setiap hari dibaca itu….
Adakah sikap ’acuh tak acuh’ kepada surat cinta Ilahi menjadi petanda ’anda sedang meramaikan ’umat buih’ dalam hadis ini :
“Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat islam yang sedikit? Baginda menjawab Tidak, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu ‘al-wahan’. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulullah. Jawab baginda “cintakan dunia dan bencikan akhirat”.
Umat buih – itulah konotasi yang diperihalkan Nabi kepada sebahagian besar kita…. umat yang tinggi kuantiti tapi kosong kualiti, rapuh jati diri, terpesong priority dan sering melakukan perkara sia-sia yang tidak ‘significant’ kepada peningkatan iman setiap hari.
KATAKAN ‘TIDAK’ KEPADA UMAT BUIH..
Kerana itu, saya perlu lakukan sesuatu untuk menjadi umat yang lebih berkualiti. Dalam konteks ini, saya ingin berinteraksi semula dengan Al-Quran. Memang jika kita membaca (menyelidik, bukan membaca tanpa faham) Al-Quran, kita akan dapati ceritanya tak ubah seperti ’jigsaw puzzle’ besar yang ’puzzle’ susunan kisahnya bertebaran sana-sini. Kadang-kadang terasa juga bila mengamati Al-Quran, kita seolah-olah mengamati kitab agung yang sangat aneh :
- Surahnya sukar dimengerti sangkut-pautnya,
- Ceritanya sering melompat-lompat dan kadangkala terputus tengah jalan tanpa ’conclusion’,
- Tajuk ’surah’nya kadang-kala agak pelik, kerana kandungannya hampir tiada kaitan dengan tajuknya.
- Susunan cerita ayatnya sering tidak tersusun dan bercampur-campur.
Mungkin kerana itulah, ditambah pula dengan kelemahan penguasaan bahasa arab, ramai antara kita mengambil jalan mudah :
’Usah pening-pening, baca sahajalah tiap hari, sekurang-kurangnya dapat juga 10 pahala setiap huruf!’
Baca tanpa faham….
Cocok betul dengan kiasan yang Tuhan gunakan ’seperti keldai memikul kitab’ (Jumu’ah, 5).
NAK BUAT TAFSIR AL-ASRAFF KE?
Maka itulah cabaran saya sekarang : cuba mencari ’big picture’ setiap surah. Cuba menggali Al-Quran berpandukan soalan :
’Apa yang Allah ingin beritahu saya melalui ayat/surah ini?
Tetapi, anda jangan pula tersalah sangka dengan apa yang bakal saya kongsikan dalam blog nanti kerana coretan tersebut bukanlah bertujuan menghasilkan tafsir baru…
Bukanlah niat saya menjadi ’the next Malaysian mufassir’ ala Syeikh Wahbah Zuhaili yang terkenal dengan berbelas-belas jilid Tafsir Al-Munirnya itu, jauh sekali berganding nama dengan Imam Al-Alusi dengan tafsir 30 jilidnya yang tebal-tebal itu…

Mudah ceritanya begini : coretan 114 surah yang bakal saya kongsikan dalam blog adalah usaha sederhana yang dilakukan untuk merobohkan tembok penghalang antara generasi sekarang dengan Kitabullah.
Dan jika anda inginkan hasil coretan saya boleh menghurai hukum-hakam Al-Quran, sekali lagi saya tegaskan : anda sedang tersalah ’rujuk’ kitab. Jika itu yang anda inginkan, sila dapatkannya dari Tafsir muktabar seperti Tafsir Ibn Katsir, Tafsir Tabari dll.
Hujung matlamat saya melalui perkongsian ’exploration’ 114 surah ’simple’ sahaja : ingin mencari unsur motivasi & makna inspirasi dari setiap surah tersebut agar jika satu hari nanti hidup saya terasa kosong, catatan tersebut mampu ’recharge’ untuk ’pergi lebih jauh’…..
Paling tidak pun, sekurang-kurangnya bila tiba giliran untuk disoal-selidik di mahkamah Tuhan nanti, saya ada sesuatu untuk ditunjukkan sebagai bukti jawapan kepada soalan :
’Asraff, apa yang telah kamu buat ketika hidup untuk menunjukkan keperihatinan kamu terhadap kitabKu ini?’
TETAPI, IA PERLUKAN ’NEW APPROACH’..
’Tetapi tuan-tuan sekelian, 114 surah perlu kita lihat sebagai 114 ’surat cinta’… barulah terasa syoknya ’bercinta’ dengan Tuhan’..
Para hadirin tersenyum simpul dengan saranan saya dalam satu kuliah tafsir suatu ketika dahulu…
Mengapa kita perlu berfikiran begitu? Sebabnya ialah, jika pendekatan nama ’surah’ digunakan, terasa benar 114 surah itu agak ’kaku’, bersifat hukum-hakam dan halal-haram sahaja….
Tetapi bayangkan pula jika 114 surah itu dilihat sebagai 114 ’surat cinta’….. hmm… anda boleh bayangkan betapa kemaruknya kita bila menerima surat cinta dari kekasih bukan? Setiap ayat tulisannya akan di’scan’ untuk mencari makna tersurat dan tersirat, hingga tahap ayat bernada negatif pun dipositifkan maknanya!…. indah sungguh kehidupan sampai makan tak kenyang, mandi pun tak masah dek penangan sepucuk surat cinta yang seperenggan cuma!
Itulah ’feeling’ yang perlu kita cetuskan bila membaca 114 ’surat cinta’ dari Tuhan….. bersemangat, energetic, syok, harapan baru, dan tak sabar nak baca sambungan surat cinta seterusnya!
BUKAN ’BLOG BUIH’…
Maka itulah antara azam tahun 2010 saya : ingin berkongsi pandangan 114 surat cinta bersama pembaca melalui blog asraffayob.com.
Dan saya amat memerlukan doa serta sokongan dari anda semua agar azam ini tidak menjadi azam ’hangat suam-suam kuku’….
Jika boleh, janganlah blog ini termasuk dalam senarai ’blog buih’ : menulis tanpa matlamat…. dan yang paling menakutkan, blog menjadi sumber punca ’maksiat’ – free-free sahaja dapat ’dosa kering’ hasil perkongsian gossip, caci-maki dan laga-melaga orang lain….
Pembaca sekelian doakan ye…. nanti lepas ni, saya akan start berkongsi pandangan dengan beberapa surah….. keep update, and keep in touch….
Dan jika ada sebarang salah-silap didalamnya, saya memohon keampuan Tuhan Ar-Rahman dengan penuh rendah diri :
“….. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa dan
kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami
beban yang besar sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang
sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan
kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah
kami….
(Surah Al-Baqarah, 286)
Posted in




[...] Entri ini adalah sebahagian dari projek saya menceritakan apa yang saya lihat,faham,feel,belajar & hayati dari 114 Surah Al-Quran untuk dikongsikan kepada seluruh pengunjung blog ini. Tujuan projek penulisan ini ada saya huraikan disini. [...]
[...] Entri ini adalah sebahagian dari projek saya untuk berkongsi apa yang saya lihat, faham, feel, belajar & hayati dari 114 Surah Al-Quran kepada seluruh pengunjung blog. Tujuan projek penulisannya ada dihuraikan disini. [...]