Adakah saya perlukan ustaz jika menghafaz menggunakan Kaedah Jibril?

(Syeikh Sayyid : antara tuan guru Al-Quran saya di Mesir)

Sebelum menjawab soalan di atas, saya ingin berkongsi satu pengalaman menarik bertalaqqi dengan salah seorang tuan guru Al-Quran saya yang dihormati : Syeikh Sayyid Ali Abdul Majid Abdul Sami’.

‘Ya Muhammad, Syeikh di mana? Hari ini ada talaqqi ke tidak?’

Saya bertanyakan Muhammad, anak Syeikh Sayyid dengan nada separuh mencungap, sambil menyapu peluh di muka…

‘Maaf, Syeikh baru keluar, ada urusan penting…Katanya, esok sahajalah datang talaqqi..’

‘Aduhai, sabar yelah…’ saya berkata dalam hati, sambil berharap semoga ‘peristiwa perit’ itu tidak berulang esok.

Peristiwa perit? Mana tidak peritnya. Untuk bertalaqqi dengan salah seorang pakar rujuk Al-Quran Al-Azhar ini, saya terpaksa meredah musim panas berhabuk Kaherah yang kadangkala mencecah 46 celcius. Lebih parah lagi, perjalanan ke rumahnya dilalui dengan menukar bas tanpa ‘aircond’ sebanyak 3 kali. Itupun kalau bernasib baik, dapatlah duduk. Jika tidak, terpaksalah berdiri hampir 2 jam dicelah penumpang arab yang besar-besar.

Ingin tahu tahap kepadatan bas itu? Bayangkan kepadatan ‘ikan tin sardin’ dan gandakannya 3 kali. Anda akan dapati itulah tahap kepadatan bas yang terpaksa saya lalui setiap kali ingin pergi bertalaqqi!

Itu satu hal. Malangnya, keperitan tersebut tidak terhenti setakat itu. Bas ketiga bukannya ‘mendarat’ betul-betul depan rumah syeikh, tetapi saya kemudiannya terpaksa berjalan hampir 1 kilometer untuk benar-benar tiba ke ‘destinasi’. Bayangkanlah, setelah mengharungi semua itu, jawapan ‘mengecewakan’ di atas yang diterima. Silap haribulan, boleh ‘angkat bendera putih’ dibuatnya.

Memang kalau hendak diikutkan, mudah sahaja kita ‘give-up’ dan mengambil keputusan berhenti talaqqi. Tetapi, satu sahaja perkara yang membolehkan saya terus bertahan : Doa dan mutiara nasihat syeikh di akhir sesi talaqqi. Terasa sangat ada seribu kemanisan dirasai disebalik tutur nasihatnya yang amat menyejukkan hati.

Inilah antara kelebihan belajar secara bertalaqqi, iaitu proses pembelajaran Al-Quran melibatkan interaksi dua hala iaitu murid mendengar bacaan guru atau murid mempendengarkan bacaannya kepada guru. Itu bahasa akademiknya. Bahasa yang lebih mudah difahami oleh orang sekarang ialah ‘duduk belajar dari kulit ke kulit, berdampingan hingga bertemu lutut dengan tuan guru’.

Secara jujur saya katakan di sini, pengalaman tersebut membuatkan saya kenal betul makna ‘berkat menuntut ilmu’ dengan tuan guru. Mungkin kerana kesabaran serta ditambah dengan doa-doa luhur yang syeikh panjatkan, Allah telah menggantikannya dengan keberkahan ilmu dan kebahagian hidup yang dikecapi sekarang.

Ingin mengecap kemanisan barokah. Itulah mukaddimah jawapan yang ingin saya kongsikan dengan anda : mengapa kita perlu berguru ketika belajar Al-Quran.

Tetapi, perlukah berguru sedangkan Kaedah Jibril lebih bersifat D.I.Y (do-it-yourself)?

Ya perlu. Ini kerana, selain kelebihan yang dinyatakan di atas, belajar menghafaz Al-Quran secara berguru penting kerana beberapa sebab utama lain iaitu :

1.   Jika disingkap sejarah, Rasulullah pun ada ‘tuan guru’ Al-Qurannya iaitu Malaikat Jibril.  Selalunya, selain dari pertemuan untuk menyampaikan wahyu baru, Rasulullah akan ‘bertalaqqi’ dengan Malaikat Jibril setahun sekali untuk proses ‘check’ segala ingatan hafazan ayat Al-Quran yang telah disampaikan. Perkara tersebut dilakukan setiap tahun kecuali pada ‘Urdatul akhirah’, iaitu tahun terakhir sebelum kewafatan. Pada tahun tersebut, Baginda telah bertalaqqi sebanyak 2 kali.

Apa hubung kaitnya peristiwa di atas dengan kita? Oh, besar sungguh maknanya! Dengan mempelajari Al-Quran secara berguru, kita sebenarnya secara tidak langsung sedang mengamalkan salah satu ‘sunnah’ Baginda S.A.W!!

2.   Ada juga yang berfikir ‘rasanya ustaz, zaman sekarang sudah canggih. Kita kan boleh sahaja menggantikan guru tersebut dengan mendengar cd bacaan imam terkemuka… kan jauh lebih baik kualiti bacaannya’.

Ya benar. Tapi anda tertinggal 1 fakta utama : ‘tuan guru cd’ tidak mampu memperbetulkan kesalahan bacaan kita. Silap-silap, perkara sebaliknya pula berlaku : anda pula yang dapat mengecam kesalahan bacaan ‘tuan guru cd’!

Inilah yang paling kita perlukan apabila berguru : memperbetulkan kesalahan yang tidak kita sedari. Sebabnya, apabila menghafaz ‘sendirian berhad’ ini, kita sering terkena penyakit ‘Double S’ iaitu ‘Syok Sendiri’. Kita rasakan, bacaan kita 99% hampir sama kualitinya dengan bacaan cd imam Mekah sedangkan hakikatnya, Idgham Maal Ghunnah pun masih lintang-pukang!

Oleh itu, kita memang perlukan syeikh @ ustaz @ tuan guru kerana mereka sahajalah yang mampu memperbetulkan segala kesalahan tersebut. Saya akui, ketika menghafaz dahulu, saya pun pernah terkena sindrom penyakit ‘syok sendiri’ ini. Tetapi, bila hari pertama bertalaqqi dengan Syeikh Sayyid, barulah saya sedar, nak bunyikan huruf  ‘kho’ pun tak lepas-lepas.

Inilah kelebihan berguru – dapat memperbetulkan bacaan, mengenalpasti sisi kelemahan ingatan, serta mempertajamkan sebutan huruf dan fasohah. Yang paling lebih penting, ia boleh menambahkan keyakinan anda terhadap ingatan hafazan, dari berterabur & terlupa sana-sini kepada :

‘Alhamdulillah, tasmi’ hafazan dengan ustaz kali ini 2 kali je sangkut!

Jadi, kesimpulannya….

Cadangan saya, carilah tuan guru – yang berkaliber, diiktiraf serta memiliki ijazah atau sanad Al-Quran tentunya. Mereka yang tersohor sebagai ‘guru tajwid & al-hafiz’ di sekitar anda. Jika tidak, ambil sahaja pilihan kedua – lantik mana-mana tuan imam di surau atau masjid berdekatan sebagai tuan guru penyemak bacaan hafazan.

Itu adalah pilihan ‘tuan guru’ yang paling ideal. Tapi, mungkin ada juga yang bermasalah begini : ‘Saya langsung tidak kenal seorang pun ustaz untuk membantu…. Imam surau berdekatan pula sibuk.. Jadi apa pilihan saya ustaz?’

Oooh… itu mudah sahaja penyelesaiannya. Lantik sesiapa sahaja yang anda kenal sebagai ‘sparring partner’ -  isteri, isteri kedua (jika ada), rakan, anak sulung, boss, supervisor, teman minum teh, driver bahkan tukang kebun pun o.k!  Yang penting, mereka hendaklah menguasai asas bacaan Al-Quran yang baik supaya bila anda memperdengarkan bacaan ayat hafazan nanti, bolehlah mereka menegur kesilapan anda :

‘Uih, panjangnya mad asli tadi, sampai 9 harkat pulak!


Cuma, kelebihan pada anda ialah :

Walaupun perlu menghafaz secara berguru, waktunya tidaklah seperti jadual sekolah tahfiz yang memerlukan anda bertalaqqi, tasmi’ dan mura’jaah setiap hari. Kali ini, ia masih bersifat fleksibel : andalah yang menentukan berapa banyak kekerapan bertalaqqi dengan tuan guru.

Yang terbaik, buatlah ‘appointment’ sekurang-kurangnya seminggu sekali.  Jika anda terlalu sibuk atau sebaliknya iaitu tuan guru pula terlalu sibuk, buatlah pertemuan sekali setiap 2 minggu. Atau, jika langsung tiada masa, paling tidak pun sebulan sekali talaqqi wajib diadakan.

Ini penting kerana dengannya, anda akan benar-benar melakukan ‘full preparation’ hafazan Al-Quran sebelum memperdengarkannya kepada tuan guru. Jika tidak, takut-takut hafazan anda akan menjadi salah satu dari 3 keadaan di bawah, samada :

1.    Kekal ‘tip-top’ dalam ingatan. (perhatian : fakta ini amat jarang berlaku di dunia sebenar)
2.    Anda mengingatinya, tetapi susunannya lintang-pukang dengan tajwid berterabur!
3.    Ia hilang perlahan-lahan bak debu berterbangan ditiup angin ‘kemalasan’.

Rasanya, pilihan ketiga InsyaAllah lebih mudah tercapai jika tiada tuan guru disisi. Jadi, untuk mengelakkannya, serta mencapai ‘masa depan hafazan yang lebih cerah’, lebih baik anda mula menelefon mana-mana ustaz yang ada namanya dalam senarai telefon bimbit, atau jenguk-jenguklah ke masjid berdekatan untuk mencari ‘imam muda Al-hafiz’ yang sedap-sedap bacaannya.

Hmm…. tapi rasanya, ustaz boleh jamin 100% ke sistem bertalaqqi ini akan meningkatkan tahap ingatan hafazan saya?

Untuk berlaku jujur bagi menjawab soalan ini, saya hanya berani berkata seperti yang tercatat dalam akhir kitab-kitab kuning : Wallahhu ‘alam bissowab - hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Yang penting, bagi saya, InsyaAllah kesempurnaan hafazan akan datang jika doa & usaha kita berterusan, serta ia ditambah pula dengan iringan ‘doa ikhlas’ yang keluar dari mulut seorang tuan guru yang mursyid.

Yakinlah, usaha anda tidak sia-sia, kerana penghujungnya tetap menuju ke muara sama : mencari keredhoaan Allah S.W.T.

* Artikel ini adalah sebahagian bab baru yang akan dimasukkan dalam ebook @ buku KAEDAHJBIRIL versi 2.0. Dilarang copy atau menyebarkannya tanpa kebenaran dari Ustaz Asraff.

.

Share/Save/Bookmark

You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Adakah saya perlukan ustaz jika menghafaz menggunakan Kaedah Jibril?”

  1. salam, ust..mohon share artikel & tulisan ust mengenai kaedah hafazan al-Quran..untuk kegunaan saya dan masyarakat di sekiling saya..

Leave a Reply

Powered by WordPress | Visit Bestincellphones.com for Cell Phone Offers. | Thanks to Internet Banking, Checking and Fat Burning Furnace Review